Thursday, August 7, 2008

ISLAM MENJANA PERPADUAN UMMAH

Masjid Menjana Perpaduan Ummah[1]

Oleh
Dr. Hassan Ahmad
Jabatan Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang


Asal-usul Masjid

Ibn Khaldun dalam Bab 4 al-Muqaddimah menyebut :[2]

"Sedarilah bahawa Allah swt telah menentukan beberapa tempat di bumi ini sebagai tempat beribadah. Mereka yang beribadah di dalamnya menerima banyak balasan dan ganjaran. Allah telah memberitahukan kita mengenai keadaan itu melalui para rasul dan Nabinya, sebagai tanda kasih dan sayang terhadap hamba-hambanya, dan bertujuan untuk memudahkan jalan menuju kebahagiaan.

Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Hadith Sahihain, tempat-tempat mulia di permukaan bumi adalah di tiga buah masjid yakni, Makkah, Madinah, dan Baitul Muqaddis. Al-Baitul Haram yang terdapat di Makkah merupakan bait(بيت) Ibrahim asws. Allah memerintahkan Ibrahim untuk membinanya, serta mengajak manusia melaksanakan perintah Allah. Ismail tinggal di sana bersama Hajar dan suku Jurhum, hingga mereka berdua dipanggil pulang oleh Allah, serta dimakamkan disekitar sana.

Baitul Muqaddis dibina oleh Daud dan Sulaiman asws, berhijrah sewaktu Allah memerintahkan baginda berhijrah dan menegakan syiar Islam di sana. Baginda membina sebuah masjid yang suci di Madinah, dan tempat bersemadinya baginda di tanah yang suci mulia itu.

Ketiga-tiga masjid itu merupakan tempat yang dapat mententeramkan perasaan umat Islam, segala yang terdetik di hati mereka dan tempat suci agama. Terdapat banyak tradisi yang meyebutkan kecemerlangannya serta ganjaran yang berlipat ganda yang dijanjikan kepada orang yang tinggal di sekitarnya dan yang bersembahyang di dalamnya”.

Bangunan tempat ibadah pertama yang dibina oleh mausia ialah bayt (بيت) yang dibina oleh Adam asws di hadapan al-Bayt al-Ma'mur tetapi telah diruntuhkan oleh taufan (khabar dhaif) namun riwayat pembinaan bayt diperkukuh dengan firman Allah:

127. Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;[3]

Falsafah Masjid

Masjid مسجد dari segi bahasa ialah tempat sujud (umum) atau tempat mengerjakan ibadah khususnya sembahyang, manakala Jami’ جامع pula adalah nama lain bagi masjid yang biasanya dimaksudkan bagi tempat ibadah yang lebih besar serta mempunyai beberapa kemudahan lain.

Walaupun masjid pada asasnya adalah tempat manusia (hamba) melakukan ibadah kepada Allah (Pencipta) namun maksudnya adalah cukup komprehensif mencakupi pelbagai fungsi dan peranan. Ini telah dibuktikan sepanjang sejarah tamadun Islam di mana masjid bukan hanya tempat manusia sujud kepada Allah tetapi menjalankan bermacam-macam aktiviti sosial, politik, ekonomi, budaya, intelektual dan sebagainya.
Masjid-masjid utama di Damsyik, Fez, Baghdad, Kaherah pada zaman keagungan Islam terletak di tengah-tengah pusat ekonomi dan politik negara. Ia menjadi titik pertengahan yang merupakan nadi kota bagi segala bentuk aspek kehidupan manusia. Lebih dari itu, biasanya ia adalah titik permulaan bagi sesuatu kawasan penempatan dan perbandaran. Bermula dari kewujudan masjid, orang Islam mula membina kemudahan masyarakat setempat seperti kedai-kedai bagi keperluan asas, tempat mandi (hammam), pasar, qasbah, penempatan musafir dan sebagainya.

Persepsi tentang peranan yang pernah dimainkan oleh masjid ini penting diberi perhatian agar umat Islam tidak melihat masjid sebagai tempat manusia berkunjung untuk melakukan sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat dan sekali sekala berbuka puasa. Persepsi sempit akan menghadkan fungsi masjid seterusnya memalapkan kegemilangan masjid. Masjid perlu dilihat sebagai institusi penting negara dan bukannya sebagai bangunan material dan monumen yang hanya mempunyai fungsi fizikal yang terhad.

Apabila masjid diberi peranan besar dalam kehidupan ummah, baharulah ia boleh dilihat sebagai tempat yang mempunyai pengaruh dalam kehidupan manusia. Selagi peranan positifnya terhad atau dihadkan, ummah akan kehilangan salah satu institusi penting dalam pembangunan umat Islam. Kebebasan masjid dalam memainkan peranan mengikut acuan dan falsafahnya akan menokok nilai tambah yang tidak ternilai dalam penjanaan ummah Islamiyyah pada masa sekarang dan masa depan.

Perpaduan Ummah dan Masjid?

Persoalan tentang perpaduan ummah Islamiyyah sudah termaklum di seluruh dunia Islam mahupun bukan Islam. Rata-rata orang Islam bersetuju tentang kelemahan umat Islam dalam perpaduan atau dengan kata lain mereka tidak bersatu dalam banyak keadaan. Dalam banyak senario politik terutama di Timur Tengah dan beberapa kawasan lain seperti di Lebanon, Iraq, Yaman, Mesir, Algeria, Palestin, Pakistan dan Iran dan sebagainya, perang saudara atau kekacauan dalaman sering berlaku dan ianya merupakan manifestasi kelemahan perpaduan muslimin atau dengan kata lain mereka sebenarnya berpecah-belah disebabkan oleh beberapa sebab atau isu-isu yang tertentu.

Di peringkat antarabangsa pula, negara Islam dilihat tidak mempunyai kesepakatan pendapat dalam kebanyakan isu politik, sosial dan ekonomi. Setakat hari ini Pertubuhan Negara Islam (OIC) sebagai contoh masih belum dapat menunjukkan kemampuannya dari segi pembangunan umat Islam di kalangan negara anggota.

Ianya telah menjadi antara tajuk penting dalam banyak persidangan kebangsaan dan antarabangsa bagi merungkai masalah perpaduan muslimin.

Adakah perpaduan ummah boleh dikaitkan dengan masjid? Jika ianya mempunyai kaitan, bolehkah ia memainkan peranannya dalam memperkukuh perpaduan ummah?. Dari pemerhatian umum, boleh dikatakan bahawa masjid memang mempunyai hubungan dengan perpaduan dan pembangunan ummah. Oleh itu, sewajarnyalah bagi umat Islam menggunakan institusi masjid sebagai titik pusat bagi menggerakkan aspirasi perpaduan yang dimaksudkan. Dengan berteraskan masjid sebagai tempat jemaah menyembah Allah, kesamaan aqidah dan semangat ikhwah akan dapat menyemarakkan perpaduan ummah.

Walaupun begitu, semangat dan emosi bagi memperkukuh perpaduan muslimin tidak akan dapat dicapai melainkan dengan pendekatan-pendekatan yang kreatif, efektif dan berwawasan. Masjid perlu memperluas peranannya supaya ianya terus relevan dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan milenium ini.

Perluasan Fungsi Masjid Abad 21

Bagi mengembalikan peranan sebenar masjid dalam membina kekuatan, perpaduan dan pembangunan Islam, beberapa langkah penting perlu diambil supaya masjid tidak tinggal sebagai tempat sembahyang semata-mata. Tidak dinafikan bahawa pada masa sekarang, sudah banyak usaha yang dijalankan oleh berbagai pihak tetapi pada masa yang sama pendekatan lain yang lebih professional dan menarik juga perlu dilaksanakan dari masa ke semasa. Mengambil kira pendekatan terbaik dari merata pelusuk dunia, para pentadbir masjid perlu sentiasa peka dengan kehendak semasa supaya program-program yang dijalankan di masjid akan memepati citarasa dan keperluan semua lapisan masyarakat setempat atau masyarakat umum.

Masjid bukan sahaja sebagai tempat yang memberi khidmat keagamaan secara khusus tetapi ia perlu dijadikan sebagai institusi pelbagai fungsi (multi functional) dan menjadikan ianya ejen pusat yang boleh membantu mewujudkan Komuniti Islam Gemilang (KIG). Pengurusan masjid perlu mempastikan empat peranan penting bagi semua aktiviti masjid:

a. Kegiatan Keagamaan
Sembahyang berjemaah, bacaan al-Quran dan aktiviti-aktiviti berkaitan hendaklah menjadi agenda penting aktiviti masjid. Kemudahan sokongan untuk keselesaan hendaklah diberi perhatian yang awla.

b. Pendidikan Agama
Dalam suasana dunia moden dan sekular, pendidikan keagamaan boleh dijadikan agenda penting penyebaran maklumat Islam di masjid-masjid. Kefahaman yang mantap, betul dan tepat adalah sangat penting bagi memandu seseorang muslim untuk menyesuaikan diri dalan kehidupan seharian. Pendidikan Islam akan menanamkan nilai dan budipekerti mulia yang boleh meyebabkan orang Islam dipandang mulia dan hebat. Program-program seperti kelas fardu ain dan kifayah, tahfiz Quran, Tafsir dan Hadith, Bahasa Arab, Tadika dan sekolah agama petang, kursus haji/umrah, ceramah dan forum dan lain-lain lagi.

c. Pembangunan Belia dan Keluarga
Keluarga adalah institusi terpenting dalam masyarakat. Ia adalah penyumbang terbesar bagi kekuatan, keharmonian dan keperihatinan masyarakat dan negara. Oleh kerana ia adalah aset penting untuk kecemerlangan generasi masa depan, merek perlu dibekalkan dengan perbagai petunjuk yang akan memandu mereka kepada masa depan yang lebih terjamin dan berkualiti. Diantara aktiviti yang boleh dijalankan bagi mencapai objektif diatas ialah:

I. Kursus pembangunan keluarga yang lebih sistematik dan berstruktur
II. Dialog tentang kesihatan, pembangunan kanak-kanak, khidmat kaunseling dan kursus motivasi
III. Penyediaan kaunselor terlatih bagi membantu keluarga bermasaalah
IV. Penubuhan kelab remaja di setiap masjid
V. Aktiviti sukan, lawatan dan khidmat masyarakat yang berterusan dengan kerjasama badan bukan kerajaan
VI. Membina budya belajar sepanjang hayat di kalangan ahli masyarakat

d. Perkhidmatan sebaran maklumat dan rujukan

Sebagai pusat komuniti Islam, masjid boleh berperanan sebagai pusat maklumat setempat yang mampu secara langsung menarik masyarakat untuk mendekatinya. Masjid boleh mempamer dan menyediakan maklumat penting tentang isu semasa yang ingin diketahui oleh masyarakat. Inisiatif seperti dibawah boleh diperkenalkan:

I. Pelantikan guru/ustaz yang berpengalaman dan memepunyai kelayakan akademik sebagai rujukan bagi membantu menyelesaikan masalah agama dan sebagainya
II. Mengadakan pameran dan aktiviti kemasyarakatan
III. Meletakkan maklumat berguna seperti akhbar, majalah, buku, pamplet dan sebagainya


Masjid Identiti Baru

Pengubahan identiti masjid dari satu keadaan kepada satu keadaan yang baru adalah merupakan di antara pendekatan yang boleh membantu masjid menjadi pemangkin kemajuan ummah. Pada masa sekarang kebanyakan masjid khususnya di luar bandar (masjid qariah) dilihat mempunyai identiti sebagai tempat sembahyang jemaah lima waktu dan sembahyang Jumaat sebagai aktiviti utama sepanjang tahun. Secara tidak langsung mereka yang menggunakan masjid hanyalah jemaah tetap masjid dan segolongan kecil ahli qariah yang mempunyai kepentingan berkala. Oleh kerana itu masjid tidak dapat dijadikan titik penggerak kepada keseluruhan masyarakat.

Bagi mengubah identiti masjid sebagai penggerak dan pemangkin perpaduan masyarakat, ia perlu mempunyai identiti yang boleh menyatukan aset-aset penting institusi kemasyarakatan seperti belia dan keluarga.

a. Identiti 1: Mesra-Belia

Masjid perlu menawarkan tempat dan program untuk belia seperti mewujudkan:
· Pusat bertauliah bagi remaja untuk mengikuti kursus-kursus-kursus tertentu
· Program dakwah belia kepada remaja-remaja yang liar-masjid
· Program galakan bagi jemaah mesra-masjid supaya mereka sentiasa dihargai dalam usaha imarah masjid yang dilakukan
· Pembentukan jawatankuasa masjid yang terdiri dari belia/remaja.
· Mewujudkan papan kenyataan yang berinformasi bagi belia

Beberapa inisiatif utama yang boleh dipertimbangkan ialah:

· Komitment latihan kepada progaram tertentu seperti kesukarelawanan dan kemasyarakatan
· Mewujudkan kerjasama dengan badan-badan pendidikan kemasyarakatan
· Program berimpak tinggi yang mempunyai sokongan kewangan dari kerajaan dan badan swasta
· Melantik Pegawai Pembangunan Masjid yang akan menyelia seluruh aktiviti pembangunan
· Mewujudkan pangkalan data belia yang menyertai aktiviti masjid
· Penyediaan kawasan khas aktiviti bagi belia termasuk peralatan belajar dan sukan


b. Identiti 2: Mesra-Keluarga

Bagi mempastikan masjid beridentiti mesra-keluarga, ia perlulah mengadakan program-program berkaitan keluarga seperti:
· Acara keluarga yang masih belum menjadi jemaah kekal masjid
· Acara keluarga untuk jemaah kekal masjid
· Menyediakan ruang untuk aktiviti kanak-kanak
· Papan kenyataan/pengiklanan tentang kekeluargaan
· Alat bantu bagi keluarga berumur dan kurang upaya

Masjid juga digalakkan untuk memperkenalkan inisisatif yang kreatif untuk mempromosi masjid sebagai tempat mesra-keluarga. Dengan itu program-program seperti dibawah adalah sangat digalakkan:

· Pengajian Islam berasaskan keluarga
· Mengadakan standard perkidmatan mesra-keluarga kepada masyarakat
· Komitmen latihan kepada Khidmat Cemerlang
· Khidmat mengadakan program sunnah seperti tahnik, aqiqah, tahlil, pengurusan jenazah, walimah dan sebagainya
· Pusat sehenti bagi maklumat dan perkhidmatan kemasyarakatan
· Skim Keluarga Masjid
· Kemudahan bermalam di masjid
· Kawan rehat dan rawat
· Pengkalan data maklumat bagi pengurusan masjid


Model Masjid Cemerlang (MMC)

Pada keseluruhannya sistem pentadbiran masjid di semua negeri di Malaysia adalah teratur dan baik. Walau bagaimanapun, untuk menjadikan pengurusan masjid berada pada tahap yang lebih baik dan kompetitif, suatu pendekatan atau sistem hendaklah diwujudkan supaya semua kelemahan dapat diperbaiki dan penambahbaikan berterusan dapat dijalankan. Sistem sedemikian akan dapat memperkukuhkan institusi masjid sebagai wadah ummah Islamiyyah untuk mencapai tahap kecemerlangan yang membanggakan.

Antara pendekatan yang boleh dilakukan ialah pewujudan Model Masjid Cemerlang (MMC). MMC ini akan mempromosi masjid mithali /contoh bagi masjid-masjid di bandar dan kampung. Ianya adalah sebuah masjid yang mempunyai beberapa kriteria atau standard yang boeh menjadi kayu ukur masjid yang baik. Dengan adanya masjid contoh ini, maka pengurusan masjid lain akan dapat mengadaptasi usaha-usaha dan praktis terbaik yang dilaksanakan oleh masjid model MMC.

Jika organisasi lain boleh mewujudkan suasana perlumbaan yang sihat kenapa masjid tidak boleh. Sistem pentadbiran dan pengurusan yang sistematik sudah pasti akan dapat meningkatkan dan memperkukuhkan peranan masjid dalam masyarakat. Membiarkan masjid tanpa pengurusan dan pemerhatian yang mantap akhirnya menjadi suatu kezaliman yang merugikan. Kesannya yang pasti ialah masjid akan terus terpinggir dalam pembangunan masyarakat dan negara. Masjid hanya akan kekal berfungsi sebagai tempat sembahyang dan acara keagamaan sahaja.


Kesimpulan

Nabi Adam, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Nabi Muhammad adalah pengasas benting baitullah atau masjid. Mereka adalah pembina asasnya dan mereka melakukan sendiri dengan tangan mereka yang mulia. Keterlibatan mereka dalam pembinaan masjid menjadikan masjid amat rapat di hati orang Islam. Semua aktiviti muslimin berkembang dari masjid dan terus meluas dengan pelbagai kemudahan dan akhirnya jadilah masjid sebagai pusat komuniti. Dewasa ini, masjid bukan pusat komuniti tetapi sebahagian dari elemen dalam komuniti bahkan kadang kadang ianya diwujudkan atas desakan masyarakat dan mungkin itulah sebab peranannya tidak begitu penting.

Oleh kerana pengubahan keadaan sedia ada (status-quo) adalah kemungkinan yang kecil, pengurusan masjid dan masyarakat perlu berusaha lebih gigih bagi menjadikan masjid itu penting kepada masyarakat dan ia boleh memainkan peranannya dengan baik. Rasa ’kepunyaan’ kepada masjid yang hampir tiada di kalangan masyarakat sekeliling masjid tidak harus dibiarkan begitu saja. Walaupun masjid sekarang dibina oleh kontraktor, masyarakat tempatan boleh diberi peluang untuk sama-sama membinanya dengan tangan mereka sendiri mengambil kira sunnah nabi-nabi terdahulu yang terlibat secara langsung dengan pembinaan tempat ibadah mereka. Mungkin dengan keterlibatan masyarakat itu akan membuahkan semangat perpaduan yang kukuh dan akrab seterusnya membawa kepada tercapainya perpaduan ummah melalui masjid.






Bacaan lanjutan
Arberry, A. J. (1996). The Koran Interpreted: A Translation, 1st, Touchstone. ISBN 978-0684825076.
Hassan Ahmad. (2008). Institusi Islam, Penerbit Universiti Malaysia Pahang. ISBN 978-967-5080-15-9
Hawting, Gerald R. (2000). The First Dynasty of Islam: The Umayyard Caliphate AD 661–750. Routledge. ISBN 0415240727.
Khan, Muhammad Muhsin; Al-Hilali Khan, Muhammad Taqi-ud-Din (1999). Noble Quran, 1st, Dar-us-Salam Publications. ISBN 978-9960740799.
Kramer (ed.), Martin (1999). The Jewish Discovery of Islam: Studies in Honor of Bernard Lewis. Syracuse University. ISBN 978-9652240408.
Kuban, Dogan (1974). Muslim Religious Architecture. Brill Academic Publishers. ISBN 9004038132.
Lewis, Bernard (1993). Islam in History: Ideas, People, and Events in the Middle East. Open Court. ISBN 978-0812692174.
Lewis, Bernard (1994). Islam and the West. Oxford University Press. ISBN 978-0195090611.
Mubarkpuri, Saifur-Rahman (2002). The Sealed Nectar: Biography of the Prophet. Dar-us-Salam Publications. ISBN 978-1591440710.
Najeebabadi, Akbar Shah (2001). History of Islam. Dar-us-Salam Publications. ISBN 978-1591440345.
Nigosian, S. A. (2004). Islam: Its History, Teaching, and Practices, New Edition, Indiana University Press. ISBN 978-0253216274.
Rahman, Fazlur (1979). Islam, 2nd, University of Chicago Press. ISBN 0-226-70281-2.
Tarikuddin Haji Hassan (2006), Nabi Muhammad: Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar,Perniagaan Jahabersa Johor Baharu. ISBN 983-170-736-2
Walker, Benjamin (1998). Foundations of Islam: The Making of a World Faith. Peter Owen Publishers. ISBN 978-0720610383.









[1] Kertas Kerja dibentangkan di Ijtima’ Pegawai Masjid Qariah Peringkat Negeri Pahang 2008, Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah Kuantan pada 7 Ogos 2008
[2] Muqaddimah Ibn Khaldun, Terjemahan DBP 1993, ms 397-398
[3] Al-Qur'an 2:127